Thursday, March 28

Jalan-jalan Petang Bersama Pendaftar 2013

Bertempat di Tasik Ilmu UTM JB, warga Pejabat Pendaftar atas anjuran Kelab Kebajikan Staf Pejabat Pendaftar [BAKUPEN] telah mengadakan program beriadah bersama Pendaftar. Aktiviti yang julung kali diadakan ini telah menarik sekitar 50 orang warga staf Pejabat Pendaftar yang berkelapangan untuk turut serta beriadah bersama Pendaftar UTM, Tuan Hj Wan Mohamad Zawawi Wan Abdul Rahman.

Tepat jam 5.20 petang, sebahagian warga Pej. Pendaftar telah berkumpul di dataran letak kereta Tasik Ilmu dengan aturcara program didahului dengan sesi regangan otot. Selang 10 minit selepas sesi memanaskan badan, semua yang turut serta mula bergerak dari tasik Ilmu melalui teratak Tasik Ilmu menuju ke Pusat Kesihatan Universiti. Para peserta turut dibekalkan dengan beg plastik hitam dengan tujuan dapat mengutip sampah-sarap yang kelihatan sepanjang laluan pejalan kaki.



Sudah menjadi kebiasaan di UTM bertitik tolak daripada inisiatif oleh Ybhg Dato Seri Naib Canselor untuk mengajak rakan-rakan staf UTM untuk beriadah selepas waktu pejabat. Berbeza dengan praktik oleh Ybhg Dato Seri Naib Canselor yang kerap berbasikal, staf Pejabat Pendaftar memilih untuk berjalan kaki bagi menjayakan program riadah kali ini.

Laluan sepanjang hampir 5 kilometer ini melalui Tasik Ilmu sebelum diteruskan ke laluan pejalan kaki bersebelahan tasik di Bhg. Keselamatan, Kolej Rahman Putra, Pusat Kesihatan, dan kembali semula melalui Kolej Tun Fatimah, masuk ke Kolej Rahman Putra semula sebelum berakhir di Tasik Ilmu. Program jalan-jalan petang yang mengambil masa hampir sejam telah berjaya memberi sedikit peluh kepada rakan staf yang terlibat disamping memupuk budaya cintakan kebersihan dan UTM dengan adanya aktiviti mengutip sampah sepanjang laluan.


Diharapkan aktiviti santai seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dengan sokongan dan penyertaan rakan-rakan staf yang lebih ramai lagi. Disamping pengukuhkan keakraban dan sillaturahim dikalangan staf, program riadah seperti ini turut dapat membantu rakan staf untuk menjalani gaya hidup sihat dan membantu mengurangkan tekanan ditempat kerja. Terima kasih di atas sokongan dan penyertaan semua untuk sesi riadah kali ini.






No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails